Quantcast
Channel: c-mi – Rumah Di Malaysia Hartanah Jual Beli Rumah Terkini
Viewing all articles
Browse latest Browse all 33

Rumah Bawah RM200,000 Bakal Dibina Di Wilayah Persekutuan – Tengku Adnan

$
0
0

Sebidang tanah di Wilayah Persekutuan dikenal pasti untuk dibangunkan dengan projek perumahan berharga di bawah RM200,000 bagi membantu golongan pertengahan memiliki hartanah.

Tanpa menyatakan lokasinya, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kementeriannya sedang berbincang dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan berhubung projek berkenaan.

“Kita telah mempunyai sebidang tanah dan akan minta pemaju bangunkan sebanyak mungkin rumah berharga bawah RM200,000,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi pengundian Projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) Residensi Pandanmas 2 di sini Khamis.

Jenis, keluasan atau nama projek perumahan berkenaan masih belum diputuskan dan akan diumumkan tidak lama lagi, katanya.

Tengku Adnan berkata pemaju yang terpilih perlu mempunyai rekod serta kemampuan kewangan yang baik bagi memastikan projek perumahan tersebut dapat dilaksanakan dan disiapkan dengan segera.

Beliau berkata pelaksanaan projek tersebut juga merupakan cetusan ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu setiap lapisan masyarakat mempunyai rumah sendiri.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata kementeriannya meluluskan sebanyak 23.40 peratus pembinaan projek rumah mampu milik pada harga RM300,000 ke bawah dalam tempoh Oktober 2013 sehingga Oktober tahun ini.

Sementara itu, majlis hari ini merupakan fasa kedua pengundian melibatkan 200 unit Residensi Pandanmas 2 di Kuala Lumpur yang berharga RM300,000 dan dijangka siap pada Oktober 2018.

Tengku Adnan berkata fasa satu pengundian melibatkan 300 unit dan sebanyak 1,720 lagi unit akan ditawarkan oleh pemaju kepada warga Wilayah Persekutuan yang layak.

— BERNAMA


Viewing all articles
Browse latest Browse all 33